Rss

Agensi pembantu rumah didakwa berisiko muflis?

Agensi pembekal pembantu rumah negara bakal berdepan dengan risiko gulung tikar jika kos pengambilan tenaga kerja dikekalkan pada harga RM4,511 seperti dipersetujui Malaysia dan Indonesia.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata PIKAP tidak bersetuju dengan harga itu memandangkan kos sebenar bagi membawa masuk seorang pembantu rumah adalah jauh lebih tinggi.

“Berdasarkan kos RM4,511 yang dipersetujui, majikan membayar RM2,711 manakala RM1,800 dibayar pembantu rumah yang akan dipotong majikan daripada gaji sebanyak RM300 selama enam bulan.

Tak boleh tawar harga

“Jumlah itu tidak mengambil kira kos ditanggung agensi sebagai perantaraan yang perlu membayar Pihak Tempatan Indonesia (PT) untuk mencari wanita negara itu yang mahu menjadi pembantu rumah di mana agensi tidak mempunyai kuasa untuk tawar-menawar harga ditetapkan,” katanya.

Raja Zulkepley mengulas dakwaan Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) yang mempersoalkan permintaan PIKAP kepada kerajaan supaya harga itu dikaji semula atas alasan ia terlalu rendah.

Tak dipanggil berbincang
Beliau berkata, PIKAP tidak pernah dipanggil berbincang dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sebelum protokol meminda Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006 dipersetujui pada 30 Mei 2011.

Berdasarkan MoU itu, kedua-dua negara bersetuju untuk memperkemaskan peruntukan terutama berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pekerja dan majikan seperti kos pengambilan pembantu rumah pada RM4,511, pembantu rumah diberi satu hari cuti setiap minggu dan dibenarkan memegang pasport sendiri.

Raja Zulkepley berkata, banyak agensi pembekal pembantu rumah mengeluh sukar mendapatkan tenaga kerja daripada PT, yang kini lebih gemar menghantar pembantu rumah ke Singapura, Taiwan dan Hong Kong yang sedia membayar harga tinggi bagi pengambilan pembantu rumah

Panduan: Tips Mendapatkan Pembantu Rumah Anda

Adakah perkara ini membuatkan anda berasa bosan dan tambahan pula merasa letih kerana seharian bekerja apabila melihat rumah anda bercelaru dan tidak diuruskan dengan sempurna? Adakah anda sentiasa impikan rumah anda duduki sentiasa diurus dengan sempurna setiap hari? Jadi, jika anda sibuk dengan urusan kerja anda dan tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian, ada kemungkinan untuk anda mendapatkan seorang Pembantu Rumah, untuk menyesaikan masalah anda. Tetapi anda tidak perlu mendapatkannya dari Agensi Pembantu Rumah untuk perkara tersebut.

Sebenarnya, terdapat beberapa perkara yang anda perlu untuk timbangkan jika anda berminat untuk mendapatkan pembantu rumah, terutamanya apabila anda harus mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.

Jadi apakah perkara yang perlu anda pertimbangkan ketika mengambil pembantu rumah?

Continue Reading >>

Indonesia tarik balik satu amah, satu tugas

Bersua kembali semua.

Alhamdulillah. Berita yang saya ingin sampaikan kepada semua bakal Majikan Pembatu Rumah bahawa pihak Indonesia telah manarik balik membatalkan tuntutan syarat yang sebelum ini diminta oleh pihak Jakata. Hal ini telah disiarkan oleh akhbar KOSMO pada 22/3/2012 baru – baru ini.

Bagi anda yang tidak berkesempatan, anda boleh membacanya dibawah;

Pembantu RumahKUALA LUMPUR – Semua amah dari Indonesia yang bakal dihantar bekerja di negara ini tidak lagi terikat dengan tuntutan hanya melakukan satu tugas khusus dalam empat bidang iaitu mengemas rumah, memasak, mengasuh bayi dan menjaga orang tua seperti yang dituntut oleh republik tersebut sebelum ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam dengan menyatakan, kerajaan Indonesia telah membatalkan tuntutan syarat pembantu rumah dari negara itu hanya melakukan satu tugas khusus serta tuntutan upah tambahan jika bekerja pada hari cuti mingguan.

“Pembantu rumah Indonesia akan menjalankan tugas seperti biasa seperti mengurus rumah, memasak, mengasuh bayi atau menjaga orang tua dan bukan terikat dengan satu tugas khusus seperti yang diusulkan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia sebelum ini.

“Mengenai gaji pula, memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui antara kedua-dua negara berhubung pengambilan amah dari Indonesia pada Mei 2011 tidak menetapkan gaji minimum sebaliknya terpulang kepada budi bicara majikan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Subramaniam, penarikan balik tuntutan bahawa amah dari Indonesia tidak lagi terikat hanya pada satu tugas itu diberitahu oleh rakan sejawatnya dari Indonesia iaitu Dr. Reyna Usman melalui telefon kelmarin yang menyatakan tuntutan itu sebenarnya dibuat oleh kementerian lain.

Jadi diharap isu satu amah, satu tugas ini selesai hendaknya ..

Reaksi PM – 1 Amah, 1 Kerja

 

 

Datuk Seri Najib Razak musykil dengan tindakan kerajaan Indonesia menetapkan peraturan baru penghantaran pembantu rumah yang antara lain memperuntukkan mereka hanya melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.

Perdana Menteri berkata, peraturan baru yang diumumkan Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, itu “ia tidak munasabah langsung”.

 ”Kita harap pihak Indonesia akan kembali kepada semangat persefahaman yang sudah dimeterai antara saya dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
 
“Semua syarat sudah dibincangkan dan kedua-dua menteri berpuas hati dengan persefahaman yang dicapai dan tidak ada apa pun dibangkitkan pada waktu itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa2, yang bernilai RM9 juta di sini hari ini.Najib berkata, beliau hairan kenapa pada saat ini selepas perjanjian berkenaan ditandatangani, pelbagai perkara mengenai isu pembantu rumah Indonesia dibangkitkan.

Ditanya sama ada kerajaan akan mencari jalan menyelesaikan isu itu, beliau berkata: “Kami akan mencari jalan penyelesaian. Saya terkejut bahawa selepas pemimpin utama kedua-dua negara (Najib dan Susilo) bersetuju, perkara seperti ini timbul.

“Saya difahamkan bahawa itulah persefahamannya (yang dipersetujui Malaysia dan Indonesia) dan ia akan dilaksanakan dengan lancar.”
Pembekuan sementara pembantu rumah dari Indonesia itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai Najib dan Susilo pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

Antara persetujuan yang dicapai, kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka kepada agensi pekerjaan.

Selain itu pembantu rumah akan diberi satu hari cuti setiap minggu dan mereka dibenarkan memegang pasport sendiri.

Namun Dr Reyna kelmarin mengumumkan peraturan baru yang berbeza daripada perjanjian dipersetujui. – BERNAMA

 

PAPA / MAMA – Keputusan 1 Pembantu Rumah, Satu Kerja – Tidak Logik

Menurut Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA),   tindakan Kerajaan Indonesia yang menetapkan amah / Pembantu Rumag dari negara itu hanya menjalankan satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700 bukan saja tidak masuk akal tetapi juga akan membebankan majikan. Mereka menganggap ia satu kesilapan yang serius jika dilaksanakan

“Jika keputusan itu benar hendak diambil, saya tidak bersetuju kerana terang-terang ia tidak relevan… takkan majikan perlu menggajikan hingga empat orang amah bagi empat tugasan yang berlainan,” katanya Pemangku Presiden PAPA

 Sementara itu, Presiden Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Fauzi Engku Muhsein ketika dihubungi, berkata, jika majikan perlu membayar RM700 untuk setiap amah, maka majikan tidak seharusnya menanggung tempat tinggal, pakaian dan makanan amah tersebut.

“RM700 untuk seorang amah sahaja sudah amat membebankan, inikan lagi perlu mengambil lebih dari seorang amah justeru kami mengecam keras peraturan itu.

“Jika mahukan RM700 maka amah yang dibekalkan perlu benar-benar bermutu dan menanggung sendiri tempat tinggal, makanan dan pakaian, sama seperti pekerja warga asing yang lain,” katanya. – BERNAMA

Isu Pembantu Rumah Indonesia Ikut Persefahaman Sedia Ada

 

 

IPOH 16 Mac — Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menyifatkan kenyataan bahawa pembantu rumah dari Indonesia hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji bulanan minimum RM700 sebagai tidak mengikut persefahaman yang dicapai antara Malaysia dengan negara jirannya.

Mengulas mengenai laporan dari Jakarta yang memetik seorang pegawai tinggi kerajaan Indonesia yang menyatakan seorang amah hanya menjalankan satu tugas, beliau berkata, wakil kedua-dua negara berhubung pembantu rumah berkenaan akan mengadakan mesyuarat di Jakarta untuk menyelesaikan perkara itu.

Katanya, kementerian berkenaan telah meminta pihak di Indonesia memberi latihan secara lebih luas dalam semua bidang supaya pembantu rumah yang dihantar ke negara ini boleh bekerja dengan baik.

“Kita setuju latihan dijalankan dan dalam pada itu ada bidang pengkhususan untuk mereka yang mahukan kerja khusus. Yang (mahu) am, mereka boleh dapatkan pembantu am. Kita akan jelaskan apa yang diputuskan dalam jawatankuasa bersama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen kewarganegaraan Malaysia kepada 212 penerima di bawah program MyDaftar kebangsaan di sini hari ini.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun, 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.— BERNAMA

RM700 Untuk 1 Bidang Kerja Sahaja

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua,

Hari ini 16/3/2012 negara digemparkan dengan berita yang mengatakan bahawa Kerajaan Indonesia akan mula menghantar Pembantu Rumah ke Malaysia pada bulan depan dengan gaji minumum sebanyak RM700 dan mereka ini hanya akan melakukan 1 tugas sahaja khusus di rumah Majikan. Ini bermakna, seandainya seorang Pembantu Rumah yang diupah untuk menjaga bayi atau kanak – kanak, maka tugasnya hanyalah mengasuh bayi atau kanak – kanak tersebut sahaja tanpa melakukan kerja – kerja rumah lain.

Jika anda sebagai Majikan, apa pendapat anda? adakah perkara seperti ini boleh anda terima? Jika dilihat secara total,  bakal Majikan yang ingin menggaji Pembantu Rumah tidak lagi boleh mengharapkan kepada seorang Pembantu Rumah sahaja untuk melakukan kerja rumah. Mungkin anda perlukan lebih kurang 4 – 5 orang Pembantu Rumah untuk menguruskannya.

Jika anda tanya saya, perkara ini tidak boleh diterima sama sekali kerana sebagai Majikan adalah menjadi tanggungjawab Pembantu Rumah untuk menguruskan rumah kita semasa ketiadaan kita berkerja di siang hari. Tambahan pula, gaji yang diminta adalah terlalu tinggi buat Majikan yang kebanyakkannya berpendapatan sederhana.

Dalam laporan tersebut juga menetapkan bahawa penghantaran Pembantu Rumah akan mengikut kemahiran Pembantu Rumah itu sendiri yang terbahagi kepada 4 bidang iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Secara ringkasnya ialah;

  • Pembantu Rumah dari Indonesia yang mula dihantar ke Malaysia bulan depan hanya akan melakukan satu tugas khusus di rumah bakal Majikan mereka
  • Ini bermakna seandainya seorang amah / Pembantu Rumah diupah untuk mengasuh bayi, maka tugasnya hanyalahmangasuh bayi tersebut dan tidak melakukan kerja – kerja rumah yang lain.
  • Bakal Majikan di Malaysia tidak boleh lagi mengharapkan kepada seorang amah / Pembantu Rumah sahaja untuk melakukan semua kerja di rumah mereka.
  • Rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama antara Kerajaan Indonesia dan Malaysia memutuskan penghantaran Pembantu Rumah akan mengikut kemahiran dalam empat bidang itu.
  • Penetapan empat bidang khusus itu bagi memastikan Pembantu Rumah dihantar ke Malaysia benar – benar telatih.

Jadi, apa pendapat anda mengenai isu RM700 untuk 1 bidang kerja ini ..

Kelewatan amah Indonesia kerana belum kursus 200 jam

ROMPIN 5 Mac – Kemasukan pembantu rumah Indonesia ke negara ini telah ditangguhkan ke 1 April daripada jadual asal 1 Mac lepas disebabkan tenaga kerja berkenaan belum menjalani latihan dan kursus selama 200 jam sebagaimana ditetapkan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata, latihan berkenaan adalah penting untuk dilalui mereka bagi memastikan pembantu rumah yang dihantar ke negara ini berkualiti dan memenuhi kehendak majikan.

“Pada masa ini pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan kerajaan Indonesia sedang memantau supaya tarikh asal ditangguhkan sebulan lagi kerana pembantu rumah yang akan dibekalkan ke sini belum menjalani kursus 200 jam berkenaan,” katanya.

Penangguhan itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan kes penderaan oleh seorang pegawai tinggi kerajaan dan isterinya terhadap dua pembantu rumah Indonesia mereka baru-baru ini, katanya kepada pemberita selepas meninjau projek perumahan terbengkalai di sini hari ini.

Katanya, antara syarat yang dipersetujui kedua-dua negara ialah pembantu rumah perlu menjalani latihan selama 200 jam sebelum dihantar ke negara ini manakala majikan perlu membekalkan profil permohonan kepada kerajaan Indonesia yang kemudiannya akan memberi biodata pembantu rumah untuk dipilih. – BERNAMA

 

Apa Logiknya Gaji Pembantu Rumah RM700?

[Artikel - Petikan Dari Utusan Malaysia 06 /03/2012]

SAYA terpanggil untuk merujuk kepada perjanjian persefahaman (MoU) penyelesaian pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Adakah Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Malaysia khususnya dan Kementerian Sumber Manusia peka implikasi MoU tersebut kepada majoriti rakyat Malaysia yang memerlukan pembantu rumah.

Kenapa pihak kita selalu mengalah? Setakat minggu lepas hanya lima atau enam agensi yang bersetuju dengan bayaran RM4,511 untuk membawa masuk pembantu tersebut.

Apa pun saya ingin bertanya logikkah gaji ditetapkan sehingga RM700 sebulan dan majikan perlu mengemukakan butir peribadi kepada pihak di Indonesia terlebih dahulu. Sekarang siapa yang mencari kerja? Rakyat Indonesia atau majikan dari Malaysia.

Persetujuan Ketua Pengarah tersebut hanya untuk kepentingan golongan yang berada sahaja. Sedangkan yang ramai memerlukan pembantu adalah daripada golongan rakyat pertengahan. Gaji RM700 sebulan hampir sama gaji pekerja yang berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia.

Nampaknya, separuh gaji terpaksa diserahkan bulat-bulat kepada pembantu yang belum tentu bagus. Syarat lain, termasuk pembantu hanya buat kerja tertentu sahaja sebagaimana yang ditetapkan dalam permohonan.

Kaedah ini hanya layak bagi majikan yang kaya dan mempunyai rumah besar. Kalau setakat duduk rumah teres tiga bilik, anak satu atau dua (sudah mula sekolah), apa logik gaji RM700 sebulan?

Kongsikan pendapatan anda mengenai isu Gaji Pembantu Rumah RM700 sebulan ..

 

Gaji Pembantu Rumah RM700?

WANITA Malaysia yang bekerja di luar rumah menghadapi kesulitan untuk mendapat pembantu rumah yang dapat memberi sumbangan yang memuaskan. Ramai wanita Malaysia menghadapi pelbagai masalah apabila pembantu rumah dari Indonesia yang kurang profesional bekerja dengan mereka.

Masalah pembantu rumah melarikan diri dari rumah pada waktu malam atau ketika tuan rumah berada di tempat kerja merupakan satu kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan pembantu rumah Indonesia di negara ini. Sikap pembantu rumah begini menyebabkan ramai wanita Malaysia merasai serik untuk mendapatkan pembantu rumah terutama wanita dari golongan pertengahan dan bawahan.

Perbelanjaan untuk mendapat pembantu rumah melalui ejen adalah terlalu mahal. Keadaan begini menyebabkan ramai wanita dalam golongan ini menghantar anak-anak mereka ke rumah rakan atau jiran untuk menjaga anak-anak mereka.

Bagi pasangan golongan ini yang mempunyai anak melebihi seorang adalah tidak mungkin bagi mereka menghantar anak-anak ke tempat asuhan yang berlesen. Oleh itu pembantu rumah amat diperlukan oleh mereka bagi mengurangkan perbelanjaan menghantar anak-anak ke rumah jiran dan tempat asuhan kanak-kanak.

Permasalahan begini sepatutnya difikirkan oleh pihak berkuasa dalam negara ini berkaitan pembantu rumah dari Indonesia. Gaji sebanyak RM700 yang dipersetujui oleh pihak berkuasa untuk membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia tidak dapat membantu golongan bawahan dan pertengahan di negara ini dalam menghadapi permasalahan pembantu rumah. Persetujuan ini hanya memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dan mereka yang melibatkan diri dalam perniagaan.

Pihak berkuasa negara ini sepatutnya memahami keadaan dan permasalahan kewangan golongan bawahan dan pertengahan yang mana gaji atau pendapatan bulanan mereka hanya mampu untuk membiayai tempat kediaman, kenderaan dan anak-anak.

Bilangan anak yang melebihi daripada seorang yang memerlukan kepada pengasuh sepatutnya dijadikan renungan dan kajian. Tambahan pula Malaysia menghadapi kadar populasi muda yang kurang seimbang dengan golongan tua.

Jika golongan bawahan dan pertengahan ini mendapat kemudahan bagi membantu mereka dalam menghadapi permasalahan pembantu rumah maka mereka tidak akan menghadapi permasalahan jika mempunyai bilangan anak yang ramai di mana secara tidak langsung ia boleh mengimbangi kadar populasi di antara golongan muda dan tua dalam negara ini.

Sepatutnya pihak berkuasa Malaysia mengklasifikasikan pembantu rumah Indonesia berdasarkan kepada kebolehan dan kemahiran mereka dalam urusan rumah tangga. Pembantu rumah yang hanya mampu untuk mengasuh dan kurang mahir dalam mengendalikan rumah tangga sepatutnya mendapat gaji minimum kerana tugas mereka mudah dan tidak seteruk bekerja di rumah yang besar yang memiliki taman atau halaman yang luas.

Sedangkan golongan bawahan dan pertengahan dalam negara ini memiliki rumah yang kecil dan tidak mempunyai halaman. Oleh itu bidang pekerjaan mereka adalah terlalu terhad di mana gaji manimun adalah bersesuaian dengan mereka.

Keluarga golongan bawahan dan pertengahan dalam negara ini hanya memerlukan pembantu rumah untuk mengasuh anak-anak ketika berada di luar rumah dan membantu mereka di dapur. Kerajaan Indonesia sepatutnya memahami kadar bayaran gaji pembantu rumah sebanyak RM700 itu adalah gaji kepada pembantu rumah profesional seperti pembantu rumah dari Filipina.

Kerajaan Filipina menyediakan pusat latihan pembantu rumah di mana individu yang ingin menjadi pembantu rumah di luar negara menjalani latihan di pusat tersebut. Oleh itu apabila mereka mendapat pekerjaan sebagai pembantu rumah di luar negara jawatan dan kedudukan mereka terjamin. Kerana untuk mendapat pembantu rumah dari negara tersebut majikan dari negara luar perlu menguruskannya melalui kedutaan Filipina. Latar belakang majikan dikaji terlebih dahulu sebelum membawa pembantu rumah.

Berdasarkan kepada keperihatinan kedutaan Filipina dan sikap profesional pembantu rumah dari negera tersebut maka majikan dalam negara ini tidak menghadapi permasalahan pembantu rumah lari dari rumah kerana pemikiran dan jiwa pembantu rumah telah disemat dengan sikap bekerja untuk mendapat gaji secara profesional.

Jika kerajaan Indonesia ingin meletakkan kedudukan pembantu rumahnya bertaraf profesional maka prosedur tertentu perlu dipenuhi supaya majikan dalam negara ini yakin bahawa mereka meringankan beban rumah tangga yang dihadapi oleh majikan walaupun dikenakan bayaran yang tinggi.

Bagi kepentingan kedua-dua negara maka gaji pembantu rumah perlu didasarkan kepada bentuk pekerjaan mereka di negara ini. Jika pembantu rumah Indonesia ditugaskan untuk menguruskan soal pekerjaan yang meletihkan maka gaji yang dikenakan itu mestilah bertepatan dengan tenaga yang disumbangkan olehnya.

Penetapan gaji kepada RM700 sebulan bukan sahaja menyebabkan ramai golongan bawahan dan pertengahan gagal untuk mengguna khidmat pembantu rumah malah ia juga akan menganiayai pembantu rumah Indonesia jika bentuk pekerjaan yang dikenakan kepadanya melebihi kadar kemampuan dirinya apabila bekerja dengan majikan yang tidak mempunyai perasaan kemanusiaan.

Peristiwa pembantu rumah didera tidak dapat dielakkan kerana penetapan gaji boleh mengunci mulut pembantu rumah jika majikannya mengarahkannya membuat pekerjaan yang tidak sewajarnya.

Perundingan antara majikan dan pembantu rumah adalah cara yang paling baik dan selamat supaya kedua-dua belah pihak berpuas hati. Cara begini juga boleh menjalinkan perasaan kasih sayang antara pembantu rumah dan majikan kerana mereka saling bantu membantu dalam menyelesaikan permasalahan masing-masing.

Pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sepatutnya meneliti permasalahan majikan dalam negara ini juga kerana kadar pendapatan rakyat Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara maju. Oleh itu usah terlalu menekan dalam aspek gaji yang tinggi untuk pembantu rumah Indonesia kerana sikap begini boleh menyebabkan majikan di Malaysia berpaling ke negara lain untuk mendapat pembantu rumah dengan gaji yang berpatutan